Oleh: Hanim Nadia
BERITA jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan tidak disambung kontrak oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapat perhatian legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Dalam hantaran di laman Facebooknya Chong Wei berkata, Hendrawan sentiasa menyokongnya di saat suka dan duka, baik di dalam gelanggang mahupun di luar, dan mengucapkan selamat tinggal bukan sesuatu yang mudah.
“Jurulatih Hendrawan, anda bukan sekadar mentor, anda seperti abang saya di dalam badminton.
“Kesabaran, kebijaksanaan, dan minat anda dalam sukan ini tidak terbanding, tidak ragu-ragu lagi anda memainkan peranan penting dalam kejayaan saya,” kata Chong Wei pada Rabu.
Chong Wei turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan Hendrawan sepanjang dia bersama BAM.
“Terima kasih jurulatih Pak Hendrawan! Ini adalah penghargaan ikhlas saya di atas sumbangan anda buat saya, keluarga, badminton Malaysia, dan seluruh komuniti badminton,” katanya.
Selain Hendrawan, 52, yang sudah bersama BAM sejak 2009, perubahan yang dibuat badan induk itu turut menyaksikan seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock kini ditugaskan sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja negara.
Turut berdepan nasib sama adalah jurulatih perseorangan wanita remaja kebangsaan, Ameer Amri Zainuddin.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ketika diminta mengulas mengenai tentang penstrukturan semula barisan kejurulatihan badan induk itu bermula musim depan.