Nidzam Jamil letak jawatan Jurulatih Selangor FC

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Selangor FC mengumumkan Ketua Jurulatih kelab itu, Nidzam Jamil telah meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Selangor FC, beliau telah memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan tersebut dan pihak kelab menghormati keputusan itu.

“Kelab ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Dibawah bimbingan beliau, Selangor FC kini berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan AFC Champions League Two.

“Beliau banyak memupuk semangat kompetitif di kalangan pemain dan kepimpinannya memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi pasukan sehingga kini,” kata kelab itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, tugas ketua jurulatih Selangor FC akan digalas oleh Abdi Hassan (Penolong Ketua Jurulatih) secara interim sementara kelab mengenalpasti ketua baharu.

Selangor FC juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Nidzam Jamil dan penghargaan atas segala sumbangan dan komitmen beliau kepada kelab.

Nidzam dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu selepas Tan Cheng Hoe meninggalkan pasukan sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

Selangor mengharungi permulaan cemerlang di bawah kendaliannya apabila menjulang tiga trofi pada awal musim.

Tekanan mula dirasai apabila Selangor tewas besar pada aksi final Piala FA 2024 kepada JDT dengan keputusan 6-1.

Situasi tegang semakin memuncak apabila skuad Merah Kuning sekali lagi tunduk kepada anak buah Hector Bidoglio di MBPJ dengan keputusan 3-0 pada 27 Oktober lalu.

Anda Mungkin Berminat