Hassan Karim akan dipanggil untuk sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR

Oleh: Azhan Rashid

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim akan dipanggil untuk sesi pendengaran oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan pertuduhan yang diterima terhadapnya.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, sesi pendengaran ini adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa bagi membolehkan individu yang didakwa menjelaskan dan seterusnya mempertahankan dirinya.

“Apabila Lembaga Disiplin menerima aduan, kami akan memanggil untuk satu sesi pendengaran bagi membolehkan individu yang berkenaan menjelaskan dirinya.

“Ini adalah SOP biasa bagi Lembaga Disiplin parti,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Tan Yee Kew berkata, Hassan menghadapi dua pertuduhan.

“Pertama, membuat kenyataan yang menimbulkan keraguan dikalangan rakyat terhadap integriti Kerajaan MADANI (Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Dan membuat kenyataan secara umum yang memberi implikasi negatif terhadap institusi diraja,” katanya.

Tambahnya lagi, Lembaga Disiplin akan merujuk keputusan tersebut kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk keputusan akhir.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Hassan sedang berdepan dengan jawatankuasa Lembaga Disiplin PKR susulan kritikannya terhadap kerajaan baru-baru ini.

Difahamkan Ahli Parlimen Pasir Gudang itu diheret ke jawatankuasa itu kerana mengkritik keputusan kerajaan dalam pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.

Di mana, Hassan akan disiasat berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong yang memiliki saham kedua terbesar dalam U Mobile di samping mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anda Mungkin Berminat