Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) melaporkan tiada sebarang bentuk kesan karkas mahupun darah pada tubuh kucing ketika ditemui mati dalam keadaan mengerikan dalam kawasan kampus di Universiti Malaya (UM).
Pihak DVS dalam satu kenyataan hari ini berkata tiada sebarang saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berlaku serta tiada kamera litar tertutup (CCTV) pada bangunan berkenaan.
Pihaknya turut berkata, aduan pertama kematian kucing dibuat pada 17 Disember 2024 didapati sudah mati 12 Disember lalu dan bangkai kucing telah ditanam di sekitar bangunan fakulti tersebut.
“Hasil pemeriksaan terhadap bangkai kucing yang digali menunjukkan bangkai sudah terurai dan tidak boleh dilakukan bedah siasat bagi mengesahkan kejadian sebenar,” jelas DVS.
Menerusi aduan kedua, kematian kucing yang dilaporkan pada hari semalam di lokasi berbeza pula tidak menunjukkan sebarang bukti yang sahih terhadap punca utama kematiannya berlaku.
Malah tidak ada sebarang kesan sebarang karkas, darah atau apa-apa bukti berkaitan kematian kucing.
“DVS memandang serius terhadap kejadian ini dan mana-mana pihak disarankan supaya membuat aduan secara rasmi sekiranya terdapat kes kezaliman haiwan seperti ini kepada pihak berkuasa veterinar di pautan awa.dvs.gov.my.
“DVS juga menyeru supaya sebarang aduan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa veterinar agar tindakan dapat diambil selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772). Tindakan yang tidak mengikut saluran yang tepat dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang akan dijalankan,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan dua ekor kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.
Namun, pada hari semalam, pihak UM telah membuat laporan baharu berhubung insiden seekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan mengerikan dalam kawasan kampus.
Baca juga: