Bantuan awal persekolahan RM150 kini diperluas kepada pelajar Tingkatan 6

PUTRAJAYA: Bermula sesi persekolahan 2025/2026, pelajar Tingkatan 6 akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 setiap seorang, sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peluasan bantuan ini akan memanfaatkan lebih 100,000 pelajar Tingkatan 6 dengan peruntukan kewangan sebanyak RM15 juta.

“BAP kepada pelajar Tingkatan 6, yang pertama kali dilaksanakan ini, adalah cerminan keprihatinan kerajaan dalam membantu ibu bapa membuat persediaan awal persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

Menurut Fadhlina, agihan BAP akan dilakukan dalam dua fasa yang mana pelajar Tingkatan 6 sedia ada akan menerima bantuan pada Februari 2025, manakala pelajar Tingkatan 6 baharu akan menerima bantuan pada Julai 2025.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 SJK (T) Ladang Tumbuk di Kuala Langat, Selangor, hari ini.

Inisiatif ini, katanya, menunjukkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkasakan pendidikan Tingkatan 6 dan menggalakkan lebih ramai pelajar memilih aliran tersebut.

“KPM sentiasa beriltizam meningkatkan akses pendidikan di setiap peringkat, termasuk pendidikan Tingkatan 6 dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat