Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan pemilihan calon Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya hampir dimuktamadkan.
Menerusi makluman di platform X, Tunku Ismail juga mendedahkan kriteria bakal CEO pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang akan di revolusikan bermula tahun depan.
“Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan hampir diselesaikan. Ketua Pegawai Eksekutif pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.
“Beliau juga perlu mempunyai rangkaian yang kukuh dalam industri bola sepak dengan hubungan erat bersama individu-individu yang berjaya dalam sukan ini bagi merangka hala tuju Harimau Malaya.
“Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.
“Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menamatkan teka-teki mengenai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan apabila mengumumkan bekas pengendali FC Tokyo, Peter Cklamovski sebagai pengganti Pau Marti Vicente.
FAM dalam kenyataan sebelum ini turut mengumumkan bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain sebagai pengendali baharu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.
Baca juga: