TANJUNG MANIS: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) kru tongkang Linau 27 yang memasuki hari kelima akhirnya ditamatkan susulan penemuan mayat di Tanjung Alit, Kabong pada petang Ahad.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak anak Numpang mengesahkan penemuan tersebut telah mengakhiri penantian keluarga mangsa.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk pengecaman oleh ahli keluarga.
“Keluasan pencarian merangkumi 96.16 batu nautika persegi, menjadikan jumlah radius pencarian dari hari pertama hingga hari kelima seluas 224.39 batu persegi,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak lima agensi terlibat sepanjang operasi CARILAMAT ini termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Coastguard (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 atau talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera,” katanya.
Pada 1 Januari 2025, ombak besar setinggi 3.5 meter menyebabkan seorang kru terjatuh ke laut dari tongkang Linau 27 di perairan Rejang dekat sini sekitar jam 10.30 pagi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menjelaskan disebabkan ombak besar, sebuah pondok yang berada di atas tongkang tersebut terjatuh ke laut bersama mangsa dikenali sebagai Mustapa Abdullah @ Moses anak Mleng berumur 64 tahun.