PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengecam tindakan tidak bertanggungjawab Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang cuba mengheret DAP dalam isu adendum melibatkan kes Datuk Seri Najib Razak.
Loke menyifatkan tindakan tersebut sebagai mainan politik ulangan PAS yang hanya pandai menyalahkan parti itu dalam apa sahaja isu dengan slogan “Semua Salah DAP”.
“Saya ingin menegaskan bahawa pemimpin DAP khususnya anggota Kabinet dari DAP langsung tidak terlibat dalam isu adendum tersebut kerana urusan pengampunan adalah tanggungjawab Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri.
“Dalam Lembaga Pengampunan pula, tidak ada seorang pun Ahli Lembaga yang terdiri dari wakil DAP.
“Tambahan pula, segala urusan Lembaga Pengampunan dinasihati oleh Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Loke juga mengkritik taktik politik kotor PAS yang menggunakan isu ini untuk cuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memecahkan Kerajaan Perpaduan.
“Pemimpin PAS kini amat gila kuasa dan gelojoh untuk menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita politik mereka untuk merampas kuasa di Putrajaya,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Minda Presiden PAS hari ini berkata, peristiwa kehakiman yang ‘memangsakan’ mantan Datuk Seri Najib Razak berkaitan titah adendum didakwa mendedahkan wajah sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.
Abdul Hadi menyifatkan apa yang berlaku meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu.
Oleh itu, Loke menyeru rakyat Malaysia yang menghargai kestabilan politik untuk menolak politik murahan dan keji yang dibawa oleh PAS.
“DAP akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yakin dengan keikhlasan semua gabungan dalam kerajaan untuk menolak cubaan PAS menggugat kestabilan negara,” katanya.