PETALING JAYA: UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
“UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Razak.
“UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi.
Tambahnya, menteri-menteri yang mewakili UMNO bersedia untuk memberi keterangan dan kerjasama kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan.
Tedahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib.
Beliau juga menjunjung kasih Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperakukan Titah Adendum berkenaan penahanan dalam rumah untuk Najib adalah wujud dan sahih.