Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Sebanyak 247 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) yang beroperasi dikesan tidak berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) boleh dikenakan tindakan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia merupakan satu kesalahan walaupun hanya untuk peringkat pendidikan awal kanak-kanak.
“Pihak kerajaan menyeru semua IPIS ini untuk mendaftar sebagaimana kehendak Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991. Pendaftaran boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID).
“Menjadi tanggungjawab mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan untuk mematuhi peraturan ini demi menjaga kesucian agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, sehingga kini sebanyak 229 buah IPIS yang telah berdaftar dengan Majli Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merangkumi 40 Sekolah Rendah Islam Swasta (SRIS), 10 Sekolah Menengah Islam Swasta (SMIS), 149 Maahad Tahfiz Swasta (MTS), 22 Madrasah Pondok Swasta (MPS) dan lapan Madrasah Malabar Johor (MMJ).
Bagaimanapun katanya, terdapat 25 IPIS yang sedang melengkapkan proses pendaftaran dan 247 lagi diketahui sedang beroperasi tetapi belum memulakan proses pendaftaran.
Mengulas lanjut, katanya, tujuan utama pendaftaran adalah untuk mengawal selia dan memastikan setiap IPIS diuruskan dengan baik, serta menjaga kebajikan pelajar.
Mohd Fared turut menekankan bahawa pendidikan yang diajar di IPIS perlu berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah fiqh mazhab As-Syafie dengan menghormati mazhab-mazhab lain.
“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjaga kebajikan kakitangan yang berkhidmat di IPIS terlibat dan menyediakan guru yang bertauliah.
“Kerajaan negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) amat menitikberatkan perkembangan syiar Islam khususnya dalam bidang pendidikan Islam melangkaui 100 tahun pelaksanaannya,” tambah beliau.
Katanya lagi, Kerajaan negeri Johor dan MAINJ sedang giat memperkemas sistem pendidikan Islam di negeri itu, termasuk memperkuat undang-undang, menyediakan latihan kepada pengajar dan meningkatkan prasarana pendidikan.
“Bagaimanapun, institusi yang ditubuhkan wajib didaftarkan sebagaimana kehendak Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991,” jelasnya.