JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura bersama dadah bernilai lebih RM3.1 juta dalam satu Operasi Khas pada 7 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 41 hingga 48 tahun itu positif dadah Methamphetamine hasil saringan ujian air kencing.
“Sindiket yang dipercayai aktif sejak bulan lalu itu, beroperasi dengan cara membungkus semula dadah ke dalam paket kopi dan koko pracampuran yang mana setiap bungkusan dicampur dengan pelbagai jenis dadah.
“Setiap paket ‘minuman dadah’ itu dijual dengan harga antara RM200 hingga RM250.
“Sindiket ini menjadikan kondominium berpagar sebagai stor simpanan dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat.
Operasi tersebut melibatkan tujuh serbuan di sekitar Johor Bahru, bermula dari jam 12.10 pagi pada 6 Februari hingga 1.30 pagi.
Tambahnya, semakan mendapati seorang suspek lelaki tempatan berusia 41 tahun mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Turut dirampas dan disita pelbagai jenis dadah dan barangan termasuk 15.33 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1.357 kg syabu, empat buah kereta, 14 utas jam tangan dengan nilai keseluruhan lebih RM3.5 juta.
Sekiranya dadah tersebut terlepas ke pasaran, dipercayai ia boleh digunakan seramai 77,279 penagih.
Kesemua mereka direman hingga 17 Februari bagi membantu sisatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Baca juga: