PETALING JAYA: Dalam satu perkembangan mengejutkan dalam dunia bola sepak Malaysia, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman tegas ke atas PDRM FC.
Pasukan tersebut didapati bersalah menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada Final 1 MFL Challenge Cup 2024-2025 menentang Selangor FC, Sabtu lepas di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
MFL dalam satu kenyataan berkata, pada perlawanan tersebut, PDRM FC telah memasukkan pemain gantian, Mohd Safiee Ahmad pada minit ke-58.
“Sedangkan pemain berjersi nombor 32 itu sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning pada perlawanan sebelumnya.
“PDRM FC telah didapati bersalah kerana melanggar Artikel 57 dan Artikel 32 dalam Kod Tatatertib FAM,” katanya.
Oleh yang demikian, katanya, PDRM FC bukan sahaja dilucutkan hak perlawanan dan dikira kalah dengan keputusan 3-0 tetapi juga dikenakan denda sebanyak RM3,000.
“Amaran keras turut diberikan kepada PDRM FC agar tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa hadapan. Keputusan ini tidak boleh dirayu,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, pada Final 1 MFL Challenge Cup 2024-2025 itu, Selangor FC telah menewaskan PDRM FC dengan keputusan 3-2.
Namun, selepas keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM ini, Selangor FC diberikan kemenangan 3-0 secara rasmi.
Ini menjadikan kedudukan agregat 3-0 berpihak kepada Selangor FC.
Namun MFL berkata, pafa Final 2 MFL Challenge Cup 2024-2025 bakal menyaksikan kedua-dua pasukan bertemu lagi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu, 22 Februari 2025, pukul 9.00 malam.