JAKARTA: Skuad Bawah 17 Tahun (B-17) Indonesia mencipta sejarah apabila menempah tiket ke Piala Dunia B-17 2025 di Qatar selepas menewaskan Yemen 4-1 dalam perlawanan kedua Piala Asia B-17 di Stadium Prince Abdullah Al Faisal Sports City pada Isnin.
Kemenangan itu membolehkan Indonesia mengumpul enam mata penuh daripada dua perlawanan, sekali gus memastikan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan C.
Dengan kelayakan ke suku akhir Piala Asia B-17, pasukan kendalian Nova Arianto itu juga secara automatik mengesahkan tempat di Piala Dunia B-17 2025.
Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang skuad muda Indonesia.
“Saya ucapkan tahniah kepada pasukan kerana kemenangan menentang Yemen ini memastikan kemaraan ke suku akhir dan sekaligus layak ke Piala Dunia B-17 2025.
“Namun, perjuangan kami masih belum selesai, pemain dan jurulatih harus kekal fokus untuk mengharungi baki perlawanan dan mencipta pencapaian terbaik dalam kejohanan ini,” katanya dipetik.
Dalam perlawanan itu, Indonesia membuka jaringan menerusi Muhamad Zahaby Gholy pada minit ke-15 dan Fadly Alberto pada minit ke-26, mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Yemen cuba bangkit pada babak kedua dengan sepakan penalti oleh Mohammed Al Garash pada minit ke-48, namun Indonesia membalas dengan dua lagi gol menerusi Evandra Floresta, yang menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-87 dan 89, membawa kemenangan 4-1.
Erick Thohir menegaskan pentingnya menjaga kecergasan fizikal dan kekuatan mental untuk menghadapi cabaran yang masih berbaki.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan ini dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.