PETALING JAYA: Kejayaan luar biasa dicatatkan oleh pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli, yang menampilkan aksi memukau di Kejuaraan Dunia GP Remaja (JrGP) di Estoril, Portugal pada Ahad.
Pelumba muda dari pasukan SIC Racing MSi itu berjaya menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sekali gus mencatat kejayaan sulungnya dalam kejuaraan berprestij itu.
Bermula dari petak ketiga, Hakim Danish bersaing sengit dengan kelompok hadapan, menunjukkan kemahiran luar biasa sebelum menamatkan perlumbaan dengan kedudukan podium yang membanggakan.
Perlumbaan itu dimenangi oleh pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan UAX Seventytwo Artbox, manakala tempat ketiga diraih oleh pelumba Finland, Rico Salmela dari pasukan Estrella Galicia 0.0 Honda.
Lebih mengagumkan, kejayaan itu hadir hanya seminggu selepas Hakim Danish turut menaiki podium dalam pusingan pertama kejuaraan Piala Rookies Red Bull MotoGP (RBMRC) di Jerez, Sepanyol.
Keputusan cemerlang dalam dua perlumbaan berturut-turut itu mengukuhkan namanya sebagai salah seorang pelumba yang perlu diberi perhatian dalam arena perlumbaan motosikal dunia.
Hakim Danish kini semakin menghampiri sasaran utamanya untuk menamatkan kempen JrGP dalam kelompok lima terbaik dan RBMRC dalam tiga terbaik, iaitunsyarat penting untuk melangkah ke kelas Moto3 dalam Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.