Daftar pemilih tambahan Ogos 2023 dibuka untuk semakan – SPR

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2023 (DPT BLN8/2023) yang diperaku dan diwartakan hari ini, dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula semalam hingga 1 November, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata DPT BLN8/2023 itu mengandungi 41,612 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2023 hingga 31 Ogos 2023, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Ikmalrudin berkata senarai berkenaan meliputi 12,915 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 763 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.

Beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2023 hingga 31 Ogos 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2023.

“Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan, katanya.

Borang C dan Borang D boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2023.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN8/2023, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Anda Mungkin Berminat