Stadium Nasional Bukit Jalil kini berwajah baharu

Selepas menjalani proses pertukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia sejak Mac lalu, Stadium Nasional, Bukit Jalil kini berwajah baharu.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan simbolik perasmian di Stadium Nasional, yang menyaksikannya turut meninjau peralatan digunakan dan keadaaan bahagian tengah padang.

Baginda yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim menaja dana bagi menggunakan rumput jenis tersebut dengan Kementerian Belia dan Sukan turut membelanjakan RM4.7 juta lagi untuk kerja-kerja berkaitan.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Faidz Sanusi dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam pada itu, Hannah memaklumkan bahawa baginda berpuas hati dengan pemasangan rumput baharu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditajanya.

Baginda turut mencadangkan beberapa perkara mengenai penyelenggaraan rumput di padang berkenaan.

“Tunku Ismail kelihatan puas hati dengan status dan telah memberikan beberapa cadangan mengenai penyelengaraan padang tersebut.

“Kita berharap esok dapatkan maklum balas daripada Kim Pan Gon (Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Malaysia) dan pasukan Harimau Malaya kerana mereka yang akan gunakan padang ini.

“Saya lihat hijau cantik, tetapi bagi pemain bola sepak mereka ada komen masing-masing. Jadi, saya rasa pasukan Harimau Malaya boleh komen. Setakat ini Tuanku puas hati,” katanya pada sidang media, hari ini.

Gelanggang tersebut akan melangsungkan perlawanan sulung bola sepak menerusi saingan Pesta Bola Merdeka pada hari esok.

Pasukan kebangsaan dijadual menentang India jam 9 malam, dengan pemenang bakal berdepan Tajikistan di perlawanan akhir di padang sama Selasa nanti.