Politik

Dewan Rakyat ‘bergegar’ ada Ahli Parlimen dikatakan sokong Zionis

Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin kecoh apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa Jimmy Puah Wee Tsen (PH-Tebrau) menyokong Israel.

Perkara itu sekali gus membuatkan Jimmy serta beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit, mendesak Shahidan menarik balik kenyataan itu.

“Kalau dia mengaku, dia tak kata dia menyokong Israel. Tapi sekarang (dakwaan) saya dengan dia, bukan dengan orang lain,” kata Shahidan.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yieng, kemudian meminta Ahli Parlimen lain duduk.

“Yang lain sila duduk. Yang Berhormat Arau, tarik balik fitnah itu. Kalau tak dapat duduk (Ahli Parlimen lain), saya akan minta keluar Dewan. Yang Berhormat Arau tarik balik, kita akan teruskan dewan,” katanya.

Wong Shu Qi (PH – Kluang) yang masih tidak berpuas hati dan mengatakan tindakan membuat tuduhan itu sama seperti ahli PAS.

“Ini perangai Ahli Parlimen Pas ke? Buat pertuduhan sahaja,” ujarnya.

Shahidan kemudian mengeluarkan kenyataan balas dan meminta agar Ahli Parlimen tidak perlu berasa terlalu marah.

“Yang Berhormat, kalau dia tidak kata menyokong Israel…dan dia mengaku, saya tarik baliklah. Apa yang bising sangat? Yang lain menyibuk pasal apa? Nak tunjuk garang sangat kenapa? Tak perlu tunjuk garanglah, telan dengan pisang saja,” katanya.

Kekecohan reda tidak lama kemudian dan sidang Dewan Rakyat disambung semula seperti biasa.

Shahidan terdahulu meminta Dewan Rakyat membuat satu pendirian mengenai keadaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin ketika ini, terutama mangsa serangan Israel yang terkorban termasuk kanak-kanak.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close