Nasional

Pemimpin PN enggan setuju RUU Anti Lompat Parti – Saifuddin

Pemimpin-pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) didakwa menjadi antara individu yang tidak bersetuju cadangan ahli Parlimen akan kehilangan kerusi sekiranya bertindak bertentangan keputusan whip parti di dalam Dewan Rakyat.

Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, beliau merupakan antara wakil dalam jawatankuasa semasa Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti bersama Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Damansara) dan Mohamed Hanipa Maidin (bekas Ahli Parlimen Sepang).

Katanya, pendirian PH adalah perlu ada tindakan terhadap ahli parlimen yang bertindak bertentangan dengan keputusan whip parti di dalam Dewan Rakyat.

“Termasuk dalam perkara seperti undian bajet, usul undi tidak percaya dan apa-apa RUU yang memberi kesan kepada kedudukan kerajaan adalah dikira hilang kerusi dan pilihan raya kecil diadakan.

“Juga ahli parlimen yang dipecat oleh parti kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti, dikira hilang kerusi. PN masa itu diwakili Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan Takiyuddin (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) tidak setuju dengan cadangan PH,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar undang-undang Anti Lompat Parti dikaji semula kerana berpandangan terdapat kelemahan susulan tindakan empat ahli parlimennya yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri namun kekal bersama parti.

Empat pemimpin tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mana-mana cadangan yang dikemukakan dan mendapat sokongan semua parti sahaja akan dimasukkan.

“(Tan Sri) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai pengerusi mengusulkan hanya cadangan yang mendapat konsensus semua parti yang akan dimasukkan.

“Akhirnya keadaan bagaimana yang dikira ahli parlimen hilang kerusi? Isytihar masuk parti lain, isytihar jadi ahli parlimen bebas. Istihar sokong Perdana Menteri? Tidak hilang kerusi, sekian,” katanya. 

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close