Tiada rumah terbuka Aidilfitri tahun ini di Seri Perdana – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana tahun ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata beliau akan mengikuti dan menghadiri majlis di negeri-negeri yang dianjurkan oleh menteri-menteri.

“Untuk sambutan Aidilfitri, saya tidak buat majlis besar-besaran di (Kompleks) Seri Perdana.

“Sebaliknya, saya akan mengikuti dan menghadiri majlis di negeri-negeri yang dianjurkan oleh menteri-menteri,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan pada Selasa.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan agensi kerajaan supaya lebih berhemat dan menganjurkan majlis hari raya yang sederhana.

“Sila jangan berlumba-lumba untuk menganjurkan majlis yang lebih besar dan mewah. Itu bukan duit anda pun,” katanya.

Baca juga: