Nasional

Menteri Luar Negeri adakan lawatan rasmi ke Filipina sempena ulang tahun ke-60 dua negara

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Republik Filipina pada Isnin.

Lawatan rasmi tersebut juga bersempena dengan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara berkenaan pada 2024.

Maka, lawatan tersebut amat signifikan untuk meningkatkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Filipina sama ada dalam konteks hubungan dua hala mahupun Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN), Mohamad dijadualkan untuk mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, TYT Enrique A Manalo yang juga merupakan Wakil Tetap Filipina untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pertemuan tersebut adalah untuk menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Filipina merangkumi pelbagai bidang untuk manfaat bersama.

“Kedua-dua menteri juga akan bertukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, Mohamad juga dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Filipina, TYT Ferdinand R Marcos Jr sewaktu berada di Manila.

Untuk info, Republik Filipina turut menjadi rakan dagang kelima terbesar di Malaysia dalam kalangan Negara Anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM36.12 bilion.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close