Kemenangan PRK DUN Mahkota Tanda Rakyat Terima Kepimpinan Anwar – Ahmad Zahid

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan moral yang diberikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Malah, beliau percaya kejayaan yang dimenangi oleh BN itu menandakan penerimaan rakyat kepada pentadbiran dan kepimpinan Anwar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan Syed Hussien Syed Abdullah yang menang dengan majoriti besar di PRK DUN Mahkota supaya membalas jasa pengundi yang memenangkannya.

“Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita,” katanya.

Berdasarkan keputusan rasmi, Syed Hussien jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi.

Syed Hussien memperoleh 27,995 undi manakala Mohamad Haizan meraih 7,347 undi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan bahawa kemenangan itu hadir bersama amanah yang berat.

Katanya, kemenangan di Nenggiri sebelum ini dan Mahkota hari ini bukan asbab untuk mendabik dada, jauh sekali berasa megah dan selesa.

“Sebaliknya, ia adalah isyarat yang jelas dari rakyat bahawa kami harus berusaha lebih kuat untuk memberikan yang terbaik demi kehidupan yang lebih sempurna di masa akan datang,” katanya.

Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam PRK Mahkota ini.

PRK DUN Mahkota, yang terletak dalam parlimen Kluang, diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.