PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kos pemulihan sektor kesihatan di Gaza yang musnah akibat serangan Israel, mencapai AS$10 bilion dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.
“Keperluannya sangat besar. Di Gaza, kemusnahan terlalu besar. Saya tidak pernah menyaksikan keadaan seperti ini sepanjang hidup saya,” kata wakil agensi kesihatan PBB di wilayah Palestin, Dr Rik Peeperkorn, memetik laporan CNN.
Dalam pada itu, Dr Peeperkorn menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan pembiayaan bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan konflik selama 15 bulan.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat melaksanakan respons ini sendirian,” kata Dr Peeperkorn.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pula berkata: “kurang daripada separuh hospital di Gaza kini berfungsi.”
Beliau menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada Rabu sebagai “berita terbaik.”
Namun, beliau turut menzahirkan keprihatinan kerana ia telah terlambat untuk mereka yang telah kehilangan nyawa dalam konflik itu.
“Kami menyambut baik berita ini dengan kelegaan, tetapi juga dengan kesedihan kerana ia datang terlalu lewat untuk mereka yang terkorban,” katanya.
Tedros juga memberi amaran terdapat kemungkinan perjanjian itu belum disahkan sepenuhnya.
Walaupun pihak perantara mengatakan perjanjian akan dikuatkuasakan pada Ahad, beliau mendesak agar ia dilaksanakan segera.
Baca juga: