Politik

Henti pernyataan kafir, zionis di Dewan Rakyat – Johari

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menggesa agar Ahli Parlimen menghentikan isu dan pernyataan kafir, zionis dan yahudi di Dewan Rakyat.

Katanya, perkara yang sama maksud disebutkan oleh Ahli Parlimen itu akan mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian.

“Yang Berhormat hendaklah menunjukkan tingkah laku yang terpuji semasa mengetengahkan isu-isu rakyat dan negara.

“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang didakwa menyebut ‘DAP kafir’ mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Johari turut meminta Ahli Parlimen bersikap positif dan tidak lagi membiarkan perkara sama berulang lagi.

“Biarkanlah perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar sana.

“Saya tegaskan bahawa saya tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan yang dimaksudkan tadi dibangkitkan lagi,” tegasnya.

Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen isu-isu peribadi yang dibangkitkan dan dilaporkan di luar hendaklah tidak dibawa serta diungkit dalam Dewan Rakyat.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close