Negeri

Kerajaan Terengganu isytihar Ahad sebagai Hari Batik

Kerajaan Terengganu mengisytiharkan setiap Ahad sebagai Hari Batik di seluruh negeri itu sekali gus menggalakkan semua penjawat awam memakai baju batik setiap Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan juga bersetuju mengekalkan keputusan mewajibkan semua penjawat awam di negeri itu memakai batik setiap Khamis.

Bagaimanapun, katanya, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada garis panduan etika pemakaian penjawat awam dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan negeri (Bahagian Sumber Manusia).

“Batik adalah pakaian tidak asing dengan identiti negeri apabila ianya cukup sinonim dengan masyarakat di negeri ini.

“Bagi meneruskan sokongan kerajaan kepada industri batik di negeri ini, kerajaan bersetuju mengisytiharkan setiap Ahad adalah hari batik di negeri ini,” katanya kepada media, pada Jumaat.

Terdahulu, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024, di Dataran Shah Bandar.

Razali berkata, pemakaian batik pada Ahad adalah antara inisiatif kerajaan mempromosikan kepada penghasilan batik yang juga produk bermutu tinggi dan berkualiti bagi membantu menjana ekonomi setempat.

“Kerajaan berharap pemakaian batik pada Ahad bukan sahaja membabitkan penjawat awam, tetapi pengusaha dan peniaga terutama di Pasar Kedai Payang,” katanya.

Mengulas mengenai lambakan batik dari luar negara termasuk Pakistan, India dan negara jiran serta Indonesia yang dijual lebih murah daripada batik tempatan, Razali berkata, kerajaan pusat diminta menaikkan kadar cukai import seni kraf tangan tradisi itu.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Ab Rasid Jusoh, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shahruddin Abu Sohot dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Baca juga:


Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close