Negeri

222 saman dan 39 motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Selangor telah menjalankan Operasi Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, operasi ini bertujuan untuk membanteras samseng jalanan yang semakin berleluasa di Lebuhraya Guhtrie.

Menurutnya, sebanyak 222 saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terutamanya kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

“Selain itu, 39 motosikal pelbagai jenis antaranya Yamaha 135LC, Yamaha RXZ dan Yamaha Y15ZR telah disita di atas kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai motosikal.

“Dalam masa yang sama sebanyak 15 tangkapan berusia 17 hingga 25 tahun telah dibuat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Tegasnya, BSPT Sungai Buloh menekankan penguatkuasaan undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan kesalahan jalan raya terutamanya bagi kesalahan tiada lesen memandu, tiada cukai jalan serta perlindungan insurans selain ubah suai motosikal seperti ekzos bising.

“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin di samping membanteras gejala samseng jalanan atau mat rempit yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang sekeliling,” ujarnya.

Justeru, kata Mohd Hafiz, pihaknya mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati di jalan raya dan sayangi diri kerana penunggang motosikal adalah penyumbang utama kemalangan maut.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close