Jenayah

Rumah tangga retak, punca suami kelar isteri di Klang

Seorang lelaki dipercayai telah mengelar isterinya akibat masalah rumah tangga sejak awal perkahwinan yang berlaku di rumah Pangsapuri Palma Bandar Botanik Klang, Selangor pada 7 Jun 2024.

Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan pada pukul 7.58 pagi daripada pengadu iaitu seorang lelaki warga tempatan bahawa abangnya telah membunuh isterinya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan iaitu Asisten Komisioner Polis, Cha Hoong Fong berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan awal, kejadian berlaku leih kurang pukul 7.00 pagi di rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan telah terbaring di atas katil dengan kesan kelar di bahagian leher dan tangan sebelah kanan.

“Menurut siasatan mendapati suspek dan mangsa mempunyai masalah rumah tangga sejak awal perkahwinan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, hasil bedah siasat terhadap mangsa terdapat 12 luka hiris dan luka kelar di bahagian telinga kiri, pipi kiri, leher, bahu kanan, lengan bawah kanan, jari manis dan jari kelingking kiri serta kepala sebelah kiri.

Jelasnya, punca kematian adalah luka kelar pada bahagian leher yang memotong kulit, lapisan bawah kulit, otot leher sebelah kiri, saluran pernafasan dan tulang leher.

Walaubagaimanapun, pada 7 Jun 2024, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, IPD Klang Selatan telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek.

“Suspek seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang merupakan suami mangsa dan suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Jun 2024,” katanya.

Susulan itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh orang dan dikenakan hukuman gantung atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Difahamkan, siasatan masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil termasuk ahli keluarga untuk dirakam percakapan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close