Lebih berhati-hati tak pergi konsert Bruno Mars, minat bukan tiket sokongan – Aizat Amdan

Penyanyi dan komposer Aizat Amdan menyatakan dirinya kini lebih berhati-hati dan bermuhasabah selepas melihat kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam terutama terhadap penduduk Palestin.

“Secara peribadi bagi saya kalau kita dah tahu produk atau individu itu memberi dana kepada Israel, kita takkan sokong kan?

“Saya tidak akan menyokong mana-mana individu yang terlibat dengan peperangan orang Islam, ini adalah untuk muhasabah diri saya juga,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media Atas Angin Festival di MyTown pada Selasa.

Pada masa sama, pelantun lagu ‘Sungai Lui’ itu turut memaklumkan bahawa dia tidak akan menghadiri konsert Bruno Mars yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 17 September ini.

Meskipun mengagumi bakat penghibur terkenal itu, penyanyi berusia 35 tahun itu menganggap minat bukan tiket untuk dia menyokong Bruno yang dikenali sebagai pro-Israel.

“Bagi saya dia memang seorang penyanyi yang hebat, saya suka lagu dia tapi saya tidak akan menutup mata semata-mata nak pergi ke konsertnya.

“Saya boleh sahaja dengar lagu dia di luar, saya tidak kisah. Ada batasnya sebagai manusia, takkan lah kita nak ikut sahaja kalau kita tahu dia adalah individu yang menyokong Israel,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aizat turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyokong mana-mana individu yang menunjukkan sokongan terhadap Israel.

Terdahulu, tular berkenaan konsert Bruno Mars yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila penyanyi tersebut didakwa merupakan penyokong tegar Israel.

Susulan itu, konsert tersebut berdepan kontroversi apabila terdapat gerakan di media sosial meminta peminat untuk memboikot konsert Bruno di Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat