Negeri

DBKK ambil tindakan tegas jika bina semula rumah setinggan

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang ingkar dan membina semula rumah di kawasan penempatan setinggan haram atas air bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam yang terbakar pada 10 Jun lalu.

DBKK menerusi satu kenyataan media pada Khamis berkata, penempatan berkenaan tidak diiktiraf dan ia bakal berdepan dengan tindakan perobohan seperti yang peruntukan mengikut Undang-Undang Kecil (Bangunan) DBKK 1951.

Menurut kenyataan itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar dan membina semula rumah di kawasan berkenaan.

“DBKK mengambil maklum akan laporan kebakaran rumah setinggan di kawasan berkenaan yang dipercayai akibat litar pintas ketika operasi perobohan rumah setinggan oleh pihak berkuasa dilakukan.

“Masalah setinggan tempatan mutakhir ini dilihat masih berterusan dan ia perlu diberikan perhatian. Jumlah kawasan setinggan yang semakin memuncak juga membawa kepada peningkatan masalah sosial yang kritikal serta sistem prasarana yang tidak teratur sehingga membawa kepada pemasangan pendawaian haram, kecurian air dan sebagainya.

“Mengambil iktibar ke atas insiden itu, DBKK ingin menyatakan ketegasan dan larangan kepada semua penduduk yang terkesan untuk tidak membina semula rumah mereka di kawasan yang sama,” katanya.

Ujarnya, DBKK juga akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak atau individu yang membina rumah atau sebarang struktur di atas tanah kerajaan mahupun milik individu tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Penempatan seumpama ini adalah penempatan yang tidak diiktiraf dan tindakan pengusiran serta perobohan akan dikuatkuasakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“DBKK turut mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang bertindak sebagai orang tengah dalam mengurus atau meluluskan penempatan baharu di dalam kawasan pentadbiran bandar raya Kota Kinabalu,” katanya lagi.

Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung Pembabitan mana-mana orang tengah dalam pengurusan penempatan baharu bolehlah melaporkan kepada DBKK di talian 088-521800.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close