Negeri

Ops Tiris: Sindiket seleweng minyak bersubsidi di Bintangor tumpas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris dalam serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Bintangor, Sarikei, Sarawak.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima kes tersebut dari Pasukan Gerakan Am Cawangan Sibu membabitkan penyelewengan minyak diesel bersubsidi anggaran 7,250 liter.

Menurutnya, ia disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi ketika serbuan dilakukan pada Selasa.

“Turut dirampas sebuah lori, 11 unit tangki IBC (Intermediate Bulk Container) dan pam elektrik dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM26,337.50.

“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki barangan kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan kenyataan pada Rabu.

Tegasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.

“Bagi orang perseorangan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya.

“Masyarakat dipohon menjadi mata dan telinga bagi membantu kementerian dengan menghulurkan maklumat sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan melalui saluran WhatsApp 019-848 8000, portal aduan di eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-80 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close