Politik

Pembangunan KIGIP akan bantu selesai isu bekalan air di Sungai Bakap – Dr Joohari

Komitmen Kerajaan Perpaduan membangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu (KIGIP) akan membuka ruang kepada limpahan ekonomi terhadap penduduk serta pelbagai sektor dan industri di kawasan Sungai Bakap.

Menyambut baik dan mengalu-alukan pembangunan KIGIP, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin berkata, projek itu juga dilihat membantu dalam menyelesaikan isu bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) terutamanya DUN Sungai Bakap yang berlarutan sehingga kini.

“Ini merupakan suatu yang cukup baik, sebab ia (KIGIP) di Kerian dan apabila dimajukan ia akan melimpah faedahnya sehingga ke kawasan SPS termasuklah di DUN Sungai Bakap ini.

“Ini termasuklah menerusi penyediaan peluang pekerjaan yang banyak di situ dan sudah tentulah ia memberi faedah kepada masyarakat sini,” katanya memetik laporan Bernama.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa berkata, projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, yang sebahagiannya dilaksanakan bagi menyokong projek KIGIP, akan dapat memenuhi keperluan bekalan air di kawasan SPS dan KIGIP, selain turut menyelesaikan masalah air di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Perak pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Joohari yang mesra disapa Cikgu Joo berharap masalah gangguan bekalan air akan dapat diselesaikan segera, apabila projek tersebut dilaksanakan.

“Projek penyaluran air mentah itu, penawaran tersebut sudah pastinya akan sampai ke kawasan Sungai Bakap, yang saya percaya masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat di sini akan dapat diselesaikan apabila projek ini dilaksanakan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan diwakili Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Related Articles

Check Also
Close