Politik

Aiman Athirah bantah keras kenyataan Wan Fayhsal tidak bertanggungjawab

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan berunsur propaganda.

Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan Wan Fayhsal yang menyatakan wujud peruntukan untuk Ahli Parlimen namun disalurkan kepada parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Aiman menegaskan bahawa Wan Fayhsal sedia maklum bahawa peruntukan Ahli Parlimen tersebut adalah di bawah Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim maka terpulang kepada beliau untuk memberikannya kepada mana-mana Ahli Parlimen yang dipercayai.

“Sekiranya memerlukan peruntukan, jumpalah dengan Perdana Menteri dan dengarlah apa harapan dan nasihatnya dan tidak menggunakan peruntukan itu untuk menyerang pentadbiran dan kepimpinan beliau.

“Bahkan, Ahli Parlimen kerajaan kini tidak bermewah-mewah dengan peruntukan Ahli Parlimen yang diperoleh daripada PM malah dipantau rapat oleh beliau melalui sistem yang dibangunkan sejak Kerajaan Madani ini mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Aiman yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyatakan tindakan Wan Fayhsal sebagai pembangkang tersebut hanyalah sekadar untuk menyebarkan propaganda jahat bagi memecah-belahkan keharmonian rakyat dalam negara ini.

Beliau akur sekiranya wujud perbezaan pendapat antara kerajaan dan pembangkang, namun janganlah dijadikan perkara tersebut sebagai sebab untuk menghancurkan negara dan keharmonian masyarakat di dalamnya.

“Tugas dan tanggungjawab membangun negara di pundak kita semua. Negara ini negara kita dan tanggungjawab kita.

“Cukuplah khianat, cukuplah drama. Masa untuk Malaysia kembali bangkit,” tegasnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close